.
.
Home » » Isu Mat Yo Sudah Selesai

Isu Mat Yo Sudah Selesai

mat yo


Petaling Jaya: Isu perpindahan Norshahrul Idlan Talaha dari Kelantan ke Johor Darul Takzim FC (JDT) dianggap selesai oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) apabila Jawatankuasa Status FAM semalam memutuskan pemain paling bernilai kebangsaan itu hanya perlu membayar RM299,000 untuk tebus kontrak kepada bekas majikannya.
Bayaran itu hanya membabitkan baki kontrak 13 bulan Norshahrul atau Mat Yo yang sudah dijelaskan pemain itu menerusi bank draf kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) minggu lalu.

Datuk Takiyuddin Hassan yang mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Status itu berkata, tidak timbul soal bayaran perpindahan pemain memandangkan Noshahrul sudah menamatkan kontrak dengan KAFA dan bekas majikannya juga sudah bersetuju dengan bayaran tebus kontrak itu sebelum ini.
“Apabila seorang pemain menamatkan kontrak sebelah pihak, dia hanya perlu membayar tebus kontrak dan tidak perlu membayar yuran perpindahan. FAM juga tidak mengiktiraf tuntutan lain yang membabitkan perjanjian antara majikan dan pemain yang tidak melalui FAM, kerana itu di luar bidang kuasa kami.

“Bagi FAM, kes ini sudah selesai kerana Mat Yo sudah membuat bayaran pertama sebanyak RM250,000 menerusi bank draf kepada KAFA pada 4 Januari 2013 dan RM49,000 bagi bayaran kedua pada 5 Januari 2013. Pemain ini layak bermain dengan Johor Darul Takzim dan soal Sijil Perpindahan juga tidak sepatutnya timbul,” katanya kepada pemberita semalam.

Kontroversi perpindahan Norshahrul ke pasukan berbelanja besar JDT hangat diperkatakan apabila Kafa menerusi penasihatnya, Tan Sri Annuar Musa dikatakan menuntut bayaran sehingga RM1 juta kepada penyerang kebangsaan itu.
Tuntutan itu membabitkan bayaran RM318,500 untuk penamatan kontrak lebih awal berdasarkan jumlah gaji dan elaun rumah selama 13 bulan baki kontrak, pinjaman mudah yang diberikan KAFA kepada pemain itu serta kos kerugian penarikan diri penajaan pasukan.

Ketika ditanya adakah KAFA boleh mengemukakan rayuan sekiranya tidak puas hati dengan keputusan jawatankuasa itu, Takiyuddin berkata: “Bagi saya kes ini sudah selesai, sama ada kes ini boleh dirayu atau tidak, ia bergantung kepada Jawatankuasa Rayuan FAM.” Dalam kes membabitkan seorang lagi pemain Kelantan, S Chanturu, FAM memutuskan pemain yang berpindah ke Perak musim ini tidak melanggar kontrak memandangkan KAFA gagal mengemukakan notis lengkap.
“KAFA mendakwa Chanturu melanggar kontrak. KAFA sudah memberikan notis kepada Chanturu 3 bulan sebelum kontraknya tamat tapi notis itu tak lengkap kerana tidak menetapkan tarikh rundingan mengikut peraturan perpindahan pemain,” kata Takiyuddin.

Sementara itu, Jawatankuasa Status juga membuat keputusan memotong deposit Persatuan Bola Sepak Perlis kerana ingkar membuat bayaran gaji tertunggak kepada bekas jurulatih Muhd Nidzam Adzha Yusoff, namun jumlah itu enggan didedahkan FAM.-hmetro.com.my

Infokinie-
 

0 comments:

Post a Comment